Sunday, May 17, 2020

KEMAHIRAN PENTING KEPADA GRADUAN PADA MASA AKAN DATANG

522 Scholars To Be Conferred PhDs At UKM's 42nd Convocation | UKM ...

Perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi, sosio ekonomi serta politik dunia adalah di antara faktor yang merubah bentuk dan tahap kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan. Zaman teknologi maklumat ini bertambah sukar untuk diramalkan jenis dan bentuk pekerjaan yang akan wujud pada masa depan dengan tepat.

Lantaran itu, universiti berperanan dalam menyediakan graduan yang kompeten, berinovatif dan memenuhi keperluan pasaran kerja adalah sesuatu yang penting bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran dan pengetahuan tentang pasaran pekerjaan. Pembangunan pelajar tidak hanya dilihat kepada pencapaian akademik yang cemerlang tetapi mempunyai kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh industri dan pasaran pekerjaan. Segala usaha tersebut adalah untuk menerapkan kemahiran tinggi dalam kalangan pelajar, maka perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di peringkat institusi.

Dari aspek akademik pula, penambahbaikan kurikulum melalui kajian pasaran pekerjaan dan kerjasama dengan industri sedang giat dilaksanakan. Manakala perkhidmatan sokongan pembangunan kerjaya juga penting dalam memastikan pelajar dapat memperolehi pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran tinggi. Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang bakal menduduki latihan industri pada masa kini juga sudah mula terkena tempiasnya. Untuk mendapatkan kedudukan sebagai pelatih industri pada waktu ini tidak lagi semudah dahulu. Majikan sudah mula mengetatkan prosedur pengambilan seperti mengenakan sesi temu duga, kuota untuk pelatih juga sangat terhad, malah kebanyakannya tidak lagi menyediakan elaun kepada pelatih. 

Bermakna, majikan hanya akan mengambil pelatih yang benar-benar sesuai dan perlu. Antaranya kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, Berbahasa Inggeris, kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, keusahawanan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat serta etika dan moral profesional.

Seperti mana hari ini, kita mendapat suapan berita daripada pelbagai sumber, bahawa para graduan kini dinilai berdasarkan kemahiran yang dimiliki.  Jika para graduan mempunyai kemahiran atau kebolehan yang dicari-cari oleh para pengurus syarikat, maka graduan itu mempunyai peluang untuk terus bekerja.  Sungguh gentar sekali melihat betapa pesat bergeraknya perkembangan sosial, ekonomi dan teknologi apatah lagi hendak ikut segala macam trend yang wujud.  Namun begitu, perkembangan sebegini sepatutnya memanfaatkan kita.
Jika kita memilih untuk melengkapkan diri dengan teknologi semasa melalui pembelajaran, kita dapat menjadikan benda yang kita takuti sebagai perkara untuk membangunkan diri dan berjaya

Untuk membantu kita mengorak langkah ke hadapan, mari kita teliti lima kemahiran yang semakin meningkat nilainya demi kejayaan kerjaya masa hadapan kita.

1. Memanfaatkan trend baharu

Tempat kerja telah berubah secara mendadak sejak 10 tahun lepas. Perubahan yang lebih ketara semestinya akan berlaku dalam masa 10 tahun akan datang.  Dunia sentiasa berubah dan kita ada dua pilihan – mencari jalan untuk bersaing dan memajukan diri, atau ketinggalan.  Kita boleh mengikuti kursus dalam atau luar talian, menghadiri seminar, membaca buku pembangunan diri atau mendengar nasihat pemimpin dalam industri. Namun hakikatnya adalah perancangan lima tahun tidak cukup untuk kita majukan diri.  Keadaan semasa mendesak kita untuk berfikir tentang masa hadapan dalam jangkauan 10, 15 dan 20 tahun akan datang, serta peranan semasa kita apabila segala macam pembangunan berlaku satu persatu.

2. Belajar teknologi baharu

Jika anda geli hati atau kecewa dengan golongan yang lebih berumur apabila mereka terkial-kial menggunakan telefon pintar, jangan gelakkan orang kerana kita bakal menjadi sebegitu rupa suatu hari nanti.  Kita semua selesa dengan benda yang kita ketahui, dan keselesaan membangkitkan keangkuhan.  Teknologi baharu muncul begitu pantas, dan kita perlu mengelakkan diri daripada duduk di bawah tempurung, apabila perkembangan terkini muncul.   Kemampuan mempersiapkan diri dan memanfaatkan teknologi baharu akan memberi kita peluang untuk bersaing dengan lebih mantap berbanding golongan yang tidak ambil endah dengan perkembangan terkini.

3. Fokus pada perkhidmatan

Ini merupakan kemahiran yang penting untuk perkembangan dan kemajuan perniagaan.   Apabila kesedaran pelanggan, permasalahan dan permintaan meningkat, maka organisasi perlu betul-betul mensasarkan perkhidmatan.  Sebagai individu, kita perlu tanya pada diri: adakah saya melibatkan diri hanya untuk menjayakan jualan, atau untuk menunjukkan betapa saya mengambil berat akan kualiti perkhidmatan yang disediakan organisasi?  Oleh sebab benda yang pelanggan suka atau tidak suka, perkara yang dianggap bernilai atau menakutkan sentiasa berubah, seseorang perlu tangkas membuat pengubahsuaian mengikut keperluan pelanggan. Dengan berbuat demikian, nilainya kepada organisasi akan meningkat lebih daripada intan permata.

4. Memantapkan kecerdasan emosi

Kecerdasan emosi menyentuh tentang cara mewujudkan hubungan yang bermakna, berpandukan kualiti seperti menjadi pendengar yang aktif, ada sifat empati, memberi respons, dan yang paling penting, memiliki kesedaran diri.  Salah satu cabaran terbesar bagi sesebuah organisasi hari ini ialah kebanyakan pemohon kerja memiliki kemahiran yang relevan dengan syarikat  tetapi mereka kurang dari segi kemahiran ‘insaniah’, yang penting untuk membangunkan perkongsian kerja yang kukuh, sama ada dari segi dalaman dan luaran.  Dalam kekalutan menyiapkan kerja, golongan yang boleh berhubung atau mengaitkan diri dengan orang lain sangat bernilai untuk syarikat.

5. Memupuk minda keusahawanan

Teras keusahawanan ialah dedikasi, dorongan, ketekunan dan kreativiti.  Usahawan mempunyai banyak idea berkenaan cara untuk menambah nilai bagi orang di sekeliling mereka dan merungkai masalah yang rumit.  Jika kita hanya duduk di meja dan mengendalikan tugasan rutin atau ikut deskripsi tugas sahaja, maka kita hanya melakukan kerja remeh yang boleh dibuat oleh 100 orang yang lain.

Bagi memastikan kita tergolong dalam kalangan graduan yang mempunyai kemahiran, kita haruslah menumpukan perhatian dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling mahupun persekitaran. Selain itu, kita mestilah sentiasa mempunyai sikap ingin tahu dan mencuba.  Dengan itu, kita akan dapat mempelajari dengan lebih lagi.  Bukan hanya dari segi teori sahaja malahan secara praktikal juga.



RUJUKAN :